Statistik kes perceraian dalam tempoh PKP bertambah berbanding sebelumnya.  Masalah utama adalah kewangan, kerana ramai suami yang tidak dapat bekerja dan ada yang diberhentikan.  Perceraian juga memberi kesan terhadap perebutan harta dalam perkahwinan.  Banyak kes yang dirujuk kepada kami, kaedah mana untuk menyelesaikan masalah harta yang di cari bersama.  Contohnya, kereta yang isteri beli, tetapi menggunakan nama suami.  Apabila berlaku perceraian ada pihak yang tidak mahu bertolak ansur untuk menyerahkan kepada pemilik sebenar secara tersirat.  Ada juga yang tidak memberi kerjasama kepada bekas pasangan yang menuntut harta sepencarian.  Pertelingkahan pasangan bukan sahaja menyusahkan mereka, tetapi anak-anak yang menerima akibat.

Untuk mengelakan risiko ini, pasangan suami-isteri perlu peka terhadap perancangan harta mereka dengan mengambilkira kebajikan anak-anak.  Adalah tidak adil bila anak menjadi mangsa dan tersepit dalam masalah ibubapa.  Tidak ada pasangan yang berkahwin mahukan perceraian, oleh itu, sebelum berlaku apa-apa musibah dalam perkahwinan, perlulah membuat perancangan. Masa yang terbaik untuk merancang adalah ketika pasangan tengah bahagia atau boleh diistilah ‘tengah manis’.  Ini adalah kerana perbincangan kedua pihak lebih mudah.  Jangan ambil mudah dan bertangguh untuk perkara yang penting.

Contohnya, jika membeli rumah dengan dua nama, perlulah membuat hibah silang atau masing-masing menghibahkan kepada anak-anak.  Begitu juga bila membeli harta menggunakan nama pasangan; perlulah menggunakan kaedah hibah agar pemilik sebenar harta tersebut tidak tidak teraniaya.  Kecuali  memang berhasrat untuk berikan kepada pasangan dan tidak akan timbul masalah berbangkit.