TANGGUH URUS PUSAKA, PUNCA KEMATIAN BERLAPIS

“Aku nak hak aku! Ikut faraid! Aku waris faraid yang sah bagi arwah ayah dengan ibu! Dia tu cuma cucu je. Aku anak arwah, aku waris paling dekat.” 

Acapkali kalimat ini kedengaran bila berlakunya kematian. Tidak dapat dinafikan dalam soal harta berlakunya perbalahan sesama keluarga. Sedangkan harta tersebut merupakan harta si mati. Mereka yang hidup sibuk mengejar harta si mati sedangkan diri masih bernyawa masih mampu untuk bekerja mencari sumber rezeki.  Memang benar masing-masing ada hak dalam harta si mati. Tetapi sampai berlaku perbalahan yang memecah-belahkan keluarga dan tidak bertegur sapa bertahun lamanya.  Perkara ini merupakan contoh yang negatif.  Seharusnya kita yang hidup perlu menguruskan harta si mati dengan sebaiknya.

Saya ingin berkongsi sebuah kisah yang kami uruskan tuntutan pusaka, yang mana si mati telah meninggal pada tahun 2010. Akan tetapi kes ini baru diselesaikan pada tahun 2021 (tuntutan dibuat akhir tahun 2020.  Bayangkan dalam tempoh 11 tahun itu, macam-macam perkara boleh berlaku. Malang tidak berbau, ajal datang menjemput hambaMu.  Itulah ayat yang sesuai digambarkan apabila dalam tempoh 11 tahun tersebut, berlakunya kematian kedua dan ketiga. Kes ini dipanggil kes munasakhah iaitu kematian yang berlapis. Akibat daripada tidak menguruskan harta kematian yang pertama, hak bagi si mati kedua dan ketiga tetap kena beri kepada waris-waris mereka. Mana tidaknya, orang kita, dah dibiasakan dengan ayat “nantilah urus”, “alah, esok-esok ada lagi”. Keadaan ini yang menjadikan harta pusaka tidak diuruskan dengan secepatnya.  Malah boleh menyebabkan  banyak masalah lain akan timbul.

Jalan cerita kes macam ni, si mati pertama meninggal pada tahun 2010. Waris yang ada suami, ayah, ibu dan seorang anak lelaki.  Kalau ikut kiraan faraid, suami dapat 1/4 (6/24) bahagian, ayah dapat 1/6 (4/24) bahagian, ibu dapat 1/6 (4/24) bahagian dan anak lelaki sebagai asobah mendapat (10/24) bahagian. Harta tak alih yang ditinggalkan adalah 2 buah rumah di Seremban dan Shah Alam manakala sebidang tanah di Melaka.  Harta alih pula yang ditinggalkan adalah dua buah kereta dan wang simpanan dalam Tabung Haji. Kematian pertama menyaksikan di mana ayah dan ibu si mati melepaskan hak (taharuj) masing-masing kepada cucu lelaki mereka.  Perkara ini amat mulia dilakukan oleh kedua ibu bapa si mati. Tetapi perkara mulia ini tidak menjadi sah di sisi undang-undang jika tidak ada hitam putih yang membuktikan kedua-dua mereka memberikan hak kepada cucu lelaki tersebut.  Semuanya atas angin sahaja.  Kemudian, pusaka pula tidak diuruskan sehinggalah tahun 2021 baru nak diuruskan. Keadaan ini menjadi lebih teruk apabila dalam tempoh 11 tahun tersebut, berlakunya kematian kedua iaitu si ayah pada tahun 2012 dan kematian ketiga si ibu 2017.

Perkara ini nampak mudah sahaja. Mungkin orang boleh beranggapan si ayah dan si ibu telah meninggal, maka tiadalah bahagian masing-masing. Lagipon mereka memang beri hak mereka pada cucu lelaki. Tetapi, bukan begitu kalau kita faham hukum faraid.  Bahagian si ayah 4/24 dan si ibu 4/24 tetap perlu diberikan kepada wari-waris kerana adanya hak mereka dalam harta si mati pertama. Sebab itu, Islam menyuruh pengurusan pusaka dibuat dengan secepatnya. Kalau tidak, perkara-perkara sebegini akan terjadi. Keadaan menjadi teruk lagi apabila anak-anak si mati kedua dan ketiga nak bahagian masing-masing.  Kalau ikutkan, si ayah dan si ibu memang berikan hak mereka pada cucu. Tetapi disebabkan tiada hitam putih, pusaka urus lambat, jadi memang tidak boleh buat apa-apa, melainkan mendapat persetujuan semua.

Kalau ikutkan, harta tak ailh dan harta alih si mati pertama merupakan milik suami dan anak si mati pertama sahaja jika pusaka diuruskan dengan secepatnya. Tetapi bila ada bahagian si ayah dan si ibu, anak-anak mereka berhak mendapatkan bahagian masing-masing kerana mereka merupakan waris faraid yang sah.  Si ayah dan si ibu meninggalkan 12 orang anak, 6 lelaki dan 6 perempuan.  Impak daripada lambat urus pusaka kematian yang pertama, disini anak lelaki si mati pertama dan suami si mati pertama perlu berkongsi bahagian mereka dengan 12 orang anak si mati kedua dan ketiga.

Alhamdulillah, selepas semua waris diberi penerangan dan berbincang tentang pembahagian pusaka ini, dapatlah kata sepakat dapat dicapai. Rumah di Seremban dan Shah Alam menjadi milik anak lelaki si mati pertama. Dua buah kereta dan wang simpanan dalam Tabung Haji diserahkan kepada suami si mati pertama. Kemudian tanah di Melaka diberikan kepada 2 orang anak perempuan si mati kedua dan ketiga kerana mereka tidak bersetuju untuk melepaskan hak.

Suka saya nak ceritakan suasana di hari perbicaraan di mana salah seorang ibu saudara (anak perempuan si mati kedua dan ketiga) kepada anak lelaki si mati, turut hadir sama dan menegur “Aliff, dah besar sekarang..” Rupanya kali terakhir berjumpa dengan anak saudara adalah pada hari pengkebumian ibunya 10 tahun lalu.  Maknanya tidak pernahpun ambil tahu dan bertanyakan khabar anak saudara.  Sebenarnya bahagian faraid adalah beserta dengan tanggung-jawab,  jika kita hanya memperjuangkan hak tetapi tanggungjawab dilupakan, adakah apa yang dilakukan itu betul?

Pengajaran daripada kisah ini, perlu kita membuka mata. dan berfikiran jauh.  Jika kita mati, siapa akan uruskan harta kita? Apa kesan jika waris bertangguh sampai bertahun lamanya untuk menguruskan harta pusaka tersebut?  Harta yang kita cari di dunia rupanya menjadi punca perbalahan waris.  Jika kita ada hasrat tersendiri, tetapi hanya setakat cakap mulut nak beri harta sekian-sekian pada si polan, memang tak kemana.  Memang hari ini hubungan antara kita dengan adik beradik, ibu/bapa saudara adalah baik. Esok lusa siapa tahu…?. Bila harta yang dipandang mata, hati boleh berubah.   Oleh itu, perlulah ubah sikap suka bertangguh, kerana ianya tidak mendatangkan manfaat, malah boleh menyebabkan terpaksa menanggung rugi.

Hukum Faraid disediakan Allah s.a.w, ada tujuan dan hikmah yang tersendiri, yang perlu untuk kita fahami dan laksanakan,  bukan sekadar pembahagian harta.

*Nama dan lokasi bukan yang sebenar.

Hjh. Norasiah bt Hassan, Alnur Wealth Management