MASIH KELIRU DENGAN HIBAH – WASIAT – FARAID?

1.  Hibah adalah pemberian semasa hidup kepada sesiapa sahaja atas dasar kasih sayang dan  sukarela tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari penerima hibah yang berkuat kuasa dengan serta merta selepas memenuhi 4 rukun hibah iaitu:

a. Pemberi hibah

b. Penerima hibah

c. Harta yang dihibahkan milik pemberi hibah

d. Sighah iaitu Ijab & Qabul serta Qabd

2.  Wasiat pula boleh dikategori kepada dua jenis, iaitu wasiat melantik pentadbir harta (wasi) dan wasiat pemberian harta.  Wasiat pemberian harta adalah lafaz yang dibuat semasa hidup  bersandarkan kematian dan pelaksanaan selepas kematian kepada bukan waris faraid pada kadar maksima ⅓ dari jumlah harta yang ditinggalkan oleh si mati.  Wasiat kepada waris faraid adalah tidak sah kecuali semua waris faraid bersetuju dengan wasiat  tersebut selepas mengetahui nilai bahagian faraid masing-masing dan diselesaikan hutang si mati.

Rukun wasiat adalah:

a. Pembuat wasiat

b. Penerima wasiat

c. Harta milik pembuat wasiat

c. Ijab sahaja

Wasiat melantik wasi / pentadbir adalah di mana sesorang individu telah melantik wasi dari kalangan waris atau syarikat amanah sebagai pentadbir harta mereka setelah mereka tiada.  Sekiranya melantik individu, perlulah pastikan individu tersebut adalah orang yang amanah dan boleh dipercayai.  Manakala jika melantik organisasi / syarikat amanah, perlu tahu dan faham berkaitan fii pihak mereka dan waris-waris juga perlu dimaklumkan berkaitan perlantikan ini.

3.   Selepas seseorang meninggal dunia hukum Faraid akan wujud selepas diselesaikan hutang si mati dan memenuhi 3 rukun berikut:

1. Mati hakiki atau hukmi

2. Ada waris

3. Ada harta.

Semasa seseorang masih hidup, mereka boleh membuat Hibah dan Wasiat. Selepas kematian seseorang, hibah dan wasiat telah tidak boleh dibuat.  Hibah berkuatkuasa semasa hidup dan wasiat berkuat kuasa selepas kematian, manakala faraid ada setelah berlaku kematian.  Jika anda faham asas ini, maka ketahuilah hibah adalah tidak bercanggah dengan hukum faraid kerana hibah dibuat semasa hidup di mana faraid belum ada.

Semoga bermanfaat kepada semua

Hj. Alzuhari bin Hasan, Alnur Wealth Management