TERTIB PENGURUSAN HARTA PUSAKA

Berdasarkan pertanyaan yang saya terima, ramai yang masih keliru atau tidak mempunyai pengetahuan mengenai kaedah menguruskan harta pusaka si mati.  Ramai yang beranggapan, terus kepada pembahagian faraid atau muafakat harta yang ditinggalkan oleh si mati.  Untuk makluman, pembahagian faraid adalah yang terakhir selepas semua urusan dunia si mati telah diselesaikan.  Di sini saya nyatakan tertib pengurusan harta pusaka bagi manfaat kepada kita semua.

Langkah 1        :             Pengumpulan harta simati.

Semua harta si mati wajib diistiharkan kepada semua waris kadim yang mempunyai hak ke atas harta yang ditinggalkan oleh si mati.

Langkah 2        :             Mengasingkan harta yang telah dihibahkan semasa hidup kepada penerima yang  telah nyatakan dalam dokumen hibah, harta amanah atau harta wakaf.  Harta yang telah dihibahkan atau wakaf  tidak termasuk dalam proses pembahagian harta pusaka.

Langkah 3        :             Belanja Pengkebumian

Menyelesaikan belanja pengkebumian si mati dengan menggunakan harta si mati jika tiada khairat kematian.

Langkah 4        :             Hutang

Menyelesaikan hutang yang ditinggalkan oleh si mati.  Terdapat 2 ketegori hutang iaitu hutang dunia dan hutang kepada Allah swt.  Hutang dunia adalah pinjaman kereta, rumah, kpd organisasi spt cukai tanah, LHDN, PTPTN, Bank, PBT dan lain-lain.  Hutang kepada Allah SWT adalah badal haji (jika mampu dan belum tunai haji), zakat, fidyah, nazar dan seumpamanya.  Hutang hendaklah dibayar menggunakan harta yang dimiliki oleh si mati dengan segera selepas dikeluarkan wang tunai atau simpanan dari Akaun Tabung Haji / KWSP / Akaun Bank.  Jika hutang ini dibayar terlebih dahulu oleh waris si mati maka ianya hendaklah dibayar balik kepada waris tadi kecuali waris menghalalkan.

Langkah 5        :             Harta Sepencarian

Menyelesaikan harta sepencarian dari pasangan si mati jika ada tuntutan  dibuat melalui mahkamah syariah dan keputusan telah dikeluarkan oleh mahkamah syariah.

Langkah 6        :             Wasiat 1/3

Melaksanakan wasiat 1/3 pembahagian harta kepada bukan waris jika semasa  hidup si mati ada hasrat tertentu seperti anak angkat, saudara bukan waris faraid, rumah kebajikan, masjid dan seumpamanya. Nilai harta yang boleh diwasiatkan terhad kepada 1/3 sahaja.  Jika lebih dari 1/3 memerlukan persetujuan waris faraid.

Langkah 7        :             Pembahagian Faraid: namum dibolehkan untuk muafakat atau Takharuj setelah waris tahu bahagian faraid masing-masing.

Kita perlu tahu rukun faraid ada 3 iaitu:

1. Mati hakiki atau mati hukmi

2. Ada meninggalkan harta, dan

3. Ada waris.

Ini bermakna hukum faraid hanya wujud apabila pemilik harta meninggal dunia.  Sekiranya terdapat baki harta si mati selepas menyelesaikan langkah 3 hingga 6, harta tersebut wajib di kira pembahagian faraid kepada waris yang terlibat dan semua waris wajib mengetahui bahagian masing-masing mengikut kadar seperti yang ditetapkan dalam Al Quran Surah An Nisa Ayat 11, 12 dan 176.

Selepas mengetahui nilai masing-masing, waris boleh membuat keputusan mengekalkan bahagian masing-masing atau muafakat dari segi pembahagian dengan melepaskan bahagian faraid atau pembahagian samarata dikalangan mereka yang terlibat.

Jika arwah tidak meninggalkan baki harta selepas langkah 3-6, sebaliknya ada hutang yang belum selesai, maka tidak ada pembahagian faraid dalam keadaan ini.  Waris hendaklah berusaha membayar hutang setakat kemampuan tanpa menjejaskan kehidupan sendiri dan anak-anak.  Jika tidak mampu juga bayar hutang, ianya terserah kepada Allah SWT.  Oleh itu, kalau kita berhutang, sebaiknya kita juga perlu ada aset dan nilainya hendaklah mencukupi untuk melangsai hutang.

Kesimpulan:

Adalah menjadi kewajipan waris untuk menyelesaikan pembahagian harta pusaka.  Waris wajib memudahkan pembahagian harta pusaka dan menyelesaikan semua urusan dunia si mati dengan segera bagi mengelakkan berlakunya kematian waris-waris faraid selepas itu di mana bahagian waris yang meninggal selepas si mati akan di warisi pula oleh waris-waris lain.  Ini akan menimbulkan kesukaran bagi menyelesaian pembahagian harta pusaka.

Di Semenanjung Malaysia, pembahagian harta pusaka hanya boleh diuruskan di 3 tempat berikut:

1. Amanah Raya Berhad (ARB) (Harta Ringkas) jika si mati meninggalkan harta alih sahaja tidak melebihi RM600K.  Sekiranya lebih dari RM600K perlu dibawa ke Mahkamah Tinggi Sivil. ARB hanya diberi kuasa  mengeluarkan perintah pembahagian atau pentadbir harta pusaka sekiranya si mati mempunyai harta alih tidak melebihi RM600K sahaja ( Akta Perbadanan Amanah Raya Berhad 1995)

2.  Unit Pembahagian Harta Pusaka, Jabatan Ketua Pengarah Tanah Dan Galian (Persekutuan) – Harta Pusaka Kecil – (Akta Harta Pusaka Kecil (Pembahagian) 1955

Nilai keseluruhan harta pusaka si mati kurang dari RM2 juta dan wajib mempunyai Harta Tak Alih iaitu tanah atau rumah.  Semua harta alih yang lain boleh dibuat bersama-sama harta tak alih.

3.  Mahkamah Tinggi Sivil ( Harta Pusaka Besar) ( Akta Probate)

Si mati mempunyai harta pusaka yang bernilai lebih dari RM2 juta ke atas termasuk harta alih dan harta tak alih.

Semoga dengan penjelasan ringkas ini dapat memberi manfaat kepada tuan/puan semua bagaimana membuat perancangan harta untuk diri sendiri dan menyelesaikan harta pusaka ahli keluarga yang telah meninggal dunia dan belum diselesaikan.

Hj. Alzuhari bin Hasan, Alnur Wealth Management