Situasi Membina Rumah Melalui Skim Subsidi SPNB Di atas Tanah Bukan Kepunyaan Sendiri

Hari ini saya didatangi seorang anak muda untuk menandatangi Surat Akuan Berkanun (SD), bersetuju melepaskan tanggungjawab SPNB kerana membina rumah bukan di atas tanah nama sendiri. 

Oleh kerana implikasi membina rumah atas tanah orang lain adalah berat, maka saya terpaksa memberi penerangan sebelum penyaksian SD dibuat.

Kisahnya begini… tanah seluas 6 ekar di Perak tersebut adalah kepunyaan arwah datoknya.  Datoknya mempunyai 1 anak lelaki (Cg Ali / bukan nama sebenar) dan 5 anak perempuan (AP 5).  Cg Ali ni pula adalah seorang guru pakar di salah sebuah sekolah di Utara.  Semasa urusan pembahagian pusaka, Cg Ali minta namanya sahaja dimasukkan kerana dia mempunyai hak yang terbesar iaitu 2/7 bahagian dan adik beradik perempuan hanya 1/7 bahagian.  Oleh kerana dialah yang terpelajar dikalangan adik beradik, maka semua setuju meletakkan nama Cg Ali ini secara keseluruhan sebanyak 1/1 bahagian sebagai pemegang amanah secara tersirat atau hukum syarak mewakili  AP 5 ni, kononnya sebagai memudahkan urusan pentadbiran bagi menguruskan kebun dan sebagainya dengan pihak berkuasa Risda dan agensi lain.  Surat Perintah Pembahagian Pusaka secara sivil meletakkan 100% tanah tersebut kepunyaan Cg Ali dan geran telah bertukar kepada Cg Ali.

Cg Ali telah membuat plot sendiri dgn juruukur tetapi tidak boleh didaftarkan di Pejabat Tanah kerana tidak mematuhi syarat pecah bahagian serta kos yang besar. Beliau menguruskan tanah tersebut dan hasil buah-buahan boleh dinikmati secara bersama dikalangan adik beradik. 

Cg Ali memperuntukan plot paling hujung dikhaskan kepada Kakak Sulung ( Kak Long) berumur 68 tahun kerana tidak berkerja dan tiada rumah.  Kak Long mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan.

Kak Long memohon bantuan membina rumah bersubsidi dari SPNB.  Oleh kerana Kak Long tidak bekerja, SPNB memohon supaya permohonan dibuat oleh salah seorang anak yang mematuhi syarat pinjaman SPNB.  Memandangkan tanah tersebut bukan atas nama Kak Long atau anaknya, maka pemilik tanah iaitu Cg Ali perlu memberi kebenaran dengan menandatangani satu Surat Akuan Berkanun tidak menuntut apa-apa gantirugi atau mendakwa SPNB. 

1. Diandaikan rumah di bawah Skim SPNB telah siap dibina, berikut adalah isu-isu yang perlu diselesaikan segera:

a. Nama Kak Long tiada dalam geran dan bukan pemilik sah mengikut Kanun Tanah Negeri.

b.  Kanun Tanah Negeri menyatakan apa-apa binaan atau tanaman atau apa-apa yang terdapat di atas tanah tersebut adalah milik penama dalam geran hakmilik tersebut.

c.  Sekiranya Cg Ali meninggal dunia, maka tanah seluas 6 ekar menjadi harta pusaka kepada warisnya, kecuali tanah yang dipegang secara amanah bukan menjadi pusaka.

d.  Pegangan secara amanah oleh Cg Ali  tidak didokumenkan secara bertulis dibawah kanun tanah negeri atau dokumen syariah diantara adik beradik yang terlibat.

e. Sekiranya waris Cg Ali dan generasi akan datang menafikan wujudnya ikatan amanah dikalangan adik beradik Cg Ali ( Ibu saudara), maka amanah yg ditanggung oleh Cg Ali telah putus…, tetapi Cg Ali tetap menanggung amanah kerana gagal melaksanakan amanah semasa hidup.  Berat tanggungjawab amanah ni sehingga ada ayat khusus dalam Surah An Nisa.

2. Apakah tindakan yang perlu dibuat oleh Kak Long bagi menjamin hak dan generasi akan datang mengikut kesesuaian dan kos pengurusan;

a. Memohon supaya Cg Ali membuat pecah bahagian kepada 6 atau 7 bahagian (ini kena rujuk dengan Juruukur berlesen)

b. Cg Ali hendaklah membuat hibah harta kepada semua adik beradik mengikut bahagian masing-masing secara syariah dengan mematuhi semua rukun hibah. (Memerlukan pengesahan hibah dari Mahkamah Syariah bagi urusan harta pusaka Cg Ali suatu hari nanti)

c. Cg Ali hendaklah membuat surat akuan berkanun yang menyatakan dengan jelas beliau hanya memegang secara amanah bahagian adik beradiknya; ( tertakluk kepada penerimaan oleh Pejabat Pusaka Kecil atau Mahkamah Tinggi Sivil semasa urusan pusaka Cg Ali)

d. Surat Akuan Berkanun yang dibuat oleh Cg Ali kepada SPNB hendaklah ditulis dengan jelas dan lengkap dan satu SD asal hendaklah disimpan untuk tindakan sekiranya berlaku sesuatu yang tidak diingini satu hari nanti.

d.  Membuat pengisytiharan amanah mengikut Kanun Tanah Negeri (jika dibenarkan oleh sesetengah negeri) bagi menjamin hak adik beradiknya terpelihara jika beliau meninggal dunia;

3.   Sekiranya berlaku kematian kepada Cg Ali, maka adik beradik Cg Ali akan memperolehi haknya semula atas dasar “Orang Yang Berkepentingan” apabila urusan harta pusaka dilaksanakan oleh waris Cg Ali.

Kesimpulan dari situasi di atas, perkara pertama sebaik-baiknya faham implikasi semasa pembahagian harta pusaka.  Keadaan ini berlaku apabila waris menguruskan sendiri harta pusaka mengikut kefahaman sendiri sedangkan ahli waris mungkin pakar dalam bidang pelajaran tetapi tidak dalam bidang faraid dan fiqh mawarith.

Perkara ke 2, jangan lah berkira wang dan ringgit kalau tidak faham, lantiklah pihak yang mempunyai kepakaran dalam bidang pusaka dan hartanah memberi nasihat dan kaedah penyelesaian.  Kalau telah berlaku kesilapan, kosnya adalah lebih besar dari menguruskan diperingkat awal.

Perkara ke 3 – elakkan dari membuat rumah di atas tanah kepunyaan orang lain hatta adik beradik atau saudara mara sekali pun.  Ada kes pemilik rumah dihalau keluar dari tanah tersebut…kalau dah jadi macam ni, jutaan sesalan pun dah tak berguna.

Perkara ke 4 – Rujuklah kepada peguam-peguam yang mahir dalam bidang hartanah dan pewarisan sebelum mengambil tindakan membuat rumah bukan atas tanah milik sendiri.

Perkara ke 5 – ambil tindakan perbincangan dan cari jalan penyelesaian jika perkara ini telah berlaku dalam suasana hubungan silaturahim kekeluargaan sebelum terlambat.

Tulisan saya di sini adalah ringkas sahaja kerana situasi hari ini ramai yang membuat rumah menggunakan skim bantuan SPNB atas tanah orang lain.

Bertindaklah dengan sewajarnya bagi memastikan pemilik rumah tidak dinafikan haknya suatu hari nanti.

Wallaualam

Catatan Alzuhari, Perunding Perwarisan & Pesuruhjaya Sumpah