“Puan, saya dah urus pusaka arwah isteri yang meninggal dua tahun lalu. Tapi sampai hari ini, saya rasa terkilan kerana tidak dapat tunaikan pesanan dia,” kata seorang suami dalam lingkungan umur 50-an.
Dia bercakap perlahan. Sesekali air mata kelihatan tergenang, walaupun cuba ditahan.
“Saya dan arwah hanya dikurniakan dua orang anak perempuan. Anak sulung kami pula anak istimewa.”
Sebelum arwah meninggal dunia, isterinya sering berpesan:
“Bang, kalau saya pergi dulu, biarlah rumah sewa saya di Kuala Lumpur itu jangan dijual. Duit sewanya RM1,500 sebulan. Gunalah untuk belanja anak kita, terutama Atiyya. Sekurang-kurangnya ada pendapatan bila kita dah tak ada nanti.”
Saya hanya mengangguk. Pesanan itu sudah banyak kali disuarakan semasa hayatnya.
Tak pernah saya sangka, itulah antara pesanan terakhirnya.